Wednesday, February 6, 2008

WWW: Kembara ICT untuk lebih cemerlang!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera… adik-adik semua!

Untuk edisi julung-julung kali ini, pihak Alumni Briged Bestari SMKAB ingin mengajak adik-adik untuk sama-sama mengembara ke alam pembelajaran yang lebih menarik dan menakjubkan!

Pernahkah adik-adik terdengar akan istilah ‘extensive learning’ ? Istilah ini merujuk kepada pembelajaran secara kendiri dan dilakukan untuk tujuan pengayaan. Mungkin ada yang mengatakan ‘extensive learning’ itu tidak penting, tetapi, fikirkan semula! Memang benar kebanyakan ilmu telah kita peroleh daripada guru yang mengajar di dalam kelas. Namun adik-adik, sejauh manakah pengetahuan-pengetahuan itu dapat bertahan sekiranya pembelajaran di dalam kelas tidak disusuli dengan ulangkaji, pengayaan serta praktis? Kapasiti otak manusia memang besar adik-adik! Namun demikian, tanpa proses pengayaan, memori dalam stor otak tidak akan kekal lama! Justeru, salah satu bentuk proses pengayaan yang efektif ialah dengan KEMBARA ICT!

KEMBARA ICT merupakan antara puluhan cara yang dapat kita gunakan untuk membantu proses pembelajaran yang lebih berkesan. Mengapa ICT? Ini kerana, selain perincian-perincian berasaskan pendidikan, terdapat pelbagai jenis laman web yang tersedia di alam maya demi memudahkan kita mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran. Nyatakan sahaja subjek yang diingini (English, Mathematics, Science, Sejarah, Geografi…), dengan beberapa klik sahaja, adik-adik pasti ketemu apa yang dicari! Adik-adik cuma perlu mengembara! Mengembara dengan cara yang lebih intelektual!

Untuk KEMBARA ICT ini, adik-adik tidak perlu bimbang dan risau! Dengan adanya buletin ini, adik-adik akan dibimbing dari semasa ke semasa. Pihak Alumni akan mengajak adik-adik untuk sama-sama mengembara ke laman-laman web tertentu yang pastinya menarik dan interaktif. Yang paling penting, laman-laman web tersebut diharapkan berguna untuk pembelajaran adik-adik! Selamat mengembara!


oleh: Anis bt Shaari

No comments: