Monday, February 4, 2008

Fokus IT: RoboFest 2007 meriah!

Berserentak dengan Pameran Inovasi Nasional (NICE) 2007, Robofest atau Festival Permainan Robot Malaysia yang membuka gelanggangnya untuk kali ke keenam awal tahun lalu mendapat sambutan hangat dari para peserta yang terlibat. Festival tahunan ini yang dianjurkan oleh SIRIM Berhad dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merupakan antara yang terbesar pernah diadakan di Malaysia dengan penglibatan menyeluruh bermula daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut IPT sehinggalah peminat robotik.

Antara kategori-kategori yang dipertandingkan seperti
Robot Assembly:Bring My Pet Home untuk sekolah rendah, Moon Explorer Robot; Triathlon Robot dan RoboSoccer Junior untuk sekolah menengah dan The Conqueror untuk penuntut IPT. Acara The Conqueror paling menarik tumpuan dengan menonjolkan reka cipta robot yang sangat mengkagumkan dan canggih. Acara yang dikhaskan untuk mahasiswa IPT ini sememangnya memperlihatkan kebolehan dan kreativiti pelajar IPT tempatan dalam penghasilkan robot-robot sendiri.

Tidak kurang hebat juga kategori RoboSoccer yang dihiburkan oleh robot-robot bermain bola dimana robot-robot tersebut dikendalikan oleh para peserta dari para pelajar sekolah menengah.
Dengan gabungan pelbagai teknologi seperti cip pemprosesan, enjin, litar bersepadu dan program perisian tertentu, robot yang direkacipta oleh pelajar-pelajar ini sebenarnya melangkaui apa yang boleh dihasilkan oleh seorang pelajar sekolah menengah.

Paling membanggakan, Robofest 2007 kali ini turut menyaksikan penguasaan pelajar-pelajar wanita yang menjuarai beberapa kategori pertandingan sekali gus membayangkan bahawa mereka juga semakin terbuka menerima teknologi canggih yang sebelum ini lebih banyak diminati pelajar lelaki.


Robofest pada kali ini sememangnya yang terbaik apatah lagi jika penglibatan peserta yang lebih luas dipertandingkan pada musim akan datang.
Ini pastinya menjanjikan sambutan yang lebih hebat dan meriah daripada peminat Robofest malah tidak mustahil juga menjadi festival robotik paling besar yang dianjurkan di peringkat kebangsaan.

oleh: Mohd Fikri Yahya
Mohd Afif bin Nordin

No comments: