Monday, February 4, 2008

Islam dan IT: IT dari kaca mata Islam

Pada era kemodenan ini, kita dapat melihat kemajuan yang begitu pesat dalam industri teknologi, khususnya industri teknologi maklumat. Hal ini merupakan suatu perkara yang tidak dapat dibendung lagi, bahkan disambut dan dialu-alukan oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia.


Industri teknologi maklumat ataupun yang kita kenali sebagai Information Technology (IT) telah berkembang pesat di serata dunia di dalam pelbagai aspek merangkumi software, hardware, blogging dan bermacam-macam lagi. Hal ini merupakan suatu petanda yang positif kerana ia memberi peluang kepada setiap individu untuk meluaskan pandangan dengan mendapatkan pengetahuan dari serata dunia dalam jaringan yang tidak terbatas.


Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya memandang kemajuan ini seiring dengan pandangan Islam yang berlandaskan syarak. Justeru, ciri-ciri yang dibawa teknologi maklumat ini perlulah disesuaikan dengan kehendak syarak. Sesetengah dari kita tidak mahu menerima kehadiran teknologi maklumat ini dengan alasan ianya membawa pelbagai perkara negatif. Harus jua diingat bahawa teknologi maklumat juga membawa 1001 manfaat kepada dunia Islam. Kemajuan teknologi maklumat telah memberi tapak kepada laman-laman web berunsurkan Islam seperi www.iluvislam.com, www.ukhwah.com dan sebagainya. Selain itu, software yang membantu umat Islam kini dapat kita lihat begitu pesat di pasaran, malah boleh dimuat turun dari Internet sperti software azan, e-book 40 Hadis Sahih dan sebagainya. Kita sendiri diajak untuk menuju kejayaan setiap kali azan berkumandang di dalam laungan “Hayya ‘alal falah” yang bermaksud ‘Marilah menuju kejayaan”.


Namun begitu, kita juga harus sedar bahawa teknologi maklumat juga membawa impak negatif kepada umat manusia. Laman-laman web yang berunsurkan lucah dan berbau perkauman misalnya, telah membawa pelbagai masalah kepada masyarakat moden ketika ini. Justeru, kita sebagai seorang Muslim haruslah memilih pilihan yang halal berlandaskan hukum syarak dan mengelakkan diri dari terjebak ke dalam kemaksiatan menerusi teknologi maklumat ini, kerana kita meyakini bahawa Allah s.w.t. sentiasa melihat setiap gerak geri kita, walau di mana sahaja kita berada.


Kesimpulannya, Islam tidak bercanggah dengan kemajuan teknologi maklumat, dengan syarat kemajuan yang dikecapi itu tidak bertentangan dengan syarak yang dilandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.


oleh : Mohd. Nasrul Hanis bin Manzahari

2 comments:

Abe said...

Ana nk tny ckit ni...
Awat yg p promot lmn web Al-Ahkam tu???

Abe said...

Alhamdulillah.
Trima kasih kerana dah ubah